Tuesday, February 22, 2011

PENERANGAN TENTANG KLINIK PENGGUNA


Satu rancangan Pengguna terbaru yang dikenali sebagai “Klinik Pengguna” akan mula ke udara di 93.9 Bernama, Radio 24 pada setiap Isnin Jam 1.00tgh dan akan diulang siaran pada hari Sabtu jam 1.00tgh bermula pada hari Isnin, 7 Februari 2011. Siaran ini akan dikendalikan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysian (PPIM).

Ia merupakan siaran radio yang akan menyampaikan aduan dan masalah yang dihadapi dalam kehidupan rakyat kepada Pejabat Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, GLC, badan swasta, atau mana-mana organisasi.

Pendekatan ini diambil oleh PPIM kerana masih terdapat berbagai masalah yang tidak dapat dirungkai dan diselesaikan di atas sebab-sebab kelemahan pentadbiran atau kepentingan seseorang. Paling malang pula, yang menjadi sasaran dan kemarahan rakyat adalah Kerajaan sendiri walaupun berbagai usaha telah dijalankan oleh Perdana Menteri untuk kemudahan rakyat.

Jalan yang paling akhir adalah dengan membawa aduan-aduan ini kepada umum secara terbuka bagi mendapatkan penyelesaian dan keadilan. Rakyat juga akan berperanan menjadi hakim dalam kes-kes yang diadu. Ini amatlah bersesuaian dengan tema dan hasrat  Kerajaan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Semua organisasi yang berkepentingan seperti pihak media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Bank-Bank, PBT, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain jabatan juga akan diminta untuk  mengikuti siaran ini untuk bersama membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.